Program Lawatan Timbalan Menteri Kewangan II ke tapak Cadangan Inisiatif Belanjawan 2024 Sinnma Maju Sdn Bhd
Satu sesi lawatan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sembilan dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan ke sebuah tapak lot tanah di Mambau, Seremban milik MAINS yang diusahakan oleh Sinnma Maju Sdn Bhd pada 12 September 2023.
Lawatan tersebut bertujuan mengenal pasti kawasan pertanian dan bertemu dengan pengusaha untuk mendapat input bagi penyediaan belanjawan 2024 di bawah Kementerian Pertanian untuk program keterjaminan makanan. Tanah wakaf khas perkuburan islam tersebut belum digunakan dan berkeluasan 40 ekar sedang diusahakan untuk tanaman seperti pisang berangan, pisang tanduk, cempedak dan nangka. Tanah tersebut dalam proses pembersihan serta penyediaan tapak dan Pihak Sinnma Maju Sdn Bhd menyasarkan pengeluaran 308 tan / tahun bagi pisang berangan pada tahun 2024
Dalam lawatan tersebut, YB Steven Sim Chee Keong menyatakan berbangga dengan inisiatif Perbadanan MAINS dalam usaha menggunakan tanah-tanah wakaf yang tidak diusahakan bagi menjalankan projek pertanian sebagai satu langkah menyokong inisiatif kerajaan dalam isu keterjaminan makanan.
Pengurus besar Perbadanan MAINS, En Mohamad Jalani Bin Mohamad Said menyasarkan manfaat serampang dua mata yang menumpukan hasil pendapatan dari sewaan tanah dan mengurangkan kos pembersihan tanah sekiranya tanah tersebut diguna pakai untuk tujuan kubur pada masa akan datang. Perbadanan MAINS juga menyasarkan usaha sama dengan pihak penyewa pada masa akan datang dalam mengusahakan tanah-tanah wakaf yang lain dalam bidang pertanian.